Assalamualaikum wrt wbt..

This blog is for anyone , especially mualaf like me who wants to learn more about Islam.I will be posting what I think is beneficial for me and others from various resources..InsyaAllah.( If you would like to share anything, please email me at knelly05@yahoo.com) Thanks!



Saturday, May 22, 2010

Antara sahabat dan ikhwan

Pada suatu hari terjadi percakapan di antara Nabi s.a.w. dengan Abu Bakar Sidiq. Sahabat-sahabat yang lain pun ada mendengarkannya.

"Wahai Abu bakar,begitu rinduku hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan),"berkata Nabi s.a.w.

"Wahai Rasulullah,bukankah kami ini teman-teman engkau?"jawab Abu Bakar.

"Bukan!"jawab Nabi.

"Kamu ini adalah sahabat-sahabatku,"selanjutnya Nabi berkata,dan menegaskan.


Keterangan Nabi itu sungguh menghairankan Abu Bakar,juga sahabat-sahabat lain yang hadir.Apakah bezanya antara sahabat dan ikhwan,siapakah yang dimaksudkan Nabi s.a.w.itu dengan penuh kerinduan?Demikian persoalan bermain dalam fikiran mereka dan suasana percakapan menjadi lebih serius kerana masing-masing ingin tahu mengenainya,malahan ini persoalan yang belum pernah mereka dengar dari Nabi s.a.w.

Nabi segera memahami suasana yang ada bila keterangan baginda mengejutkan Abu Bakar dan sekalian sahabat yang ada di majlis itu.Maka segeralah baginda menghuraikannya.

"Ikhwan(saudara-saudara)ku."

"Mereka belum pernah melihat aku,tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi dari anak dan orang-orang tua mereka."

"Ya Rasulullah,bukankah kami ini ikhwan engkau?"bertanya sahabat baginda.mereka masih merasa hairan dan ingin tahu penjelasan Nabi s.a.w selanjutnya.

"Kamu semua adalah sahabat-sahabat aku,"jelas Nabi.

"Wahai Abu Bakar,adakah engkau tidak akan merindui kepada ikhwanku itu kerana mereka juga mencintai engkau kerana engkau sahabatku?" Demikian Nabi memperjelaskan perkara itu.


Begitulah Nabi s.a.w menerangkan bahawa mereka itu umat sesudah wafatnya baginda.Mereka itu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda.Mereka membaca Qur'an dan Hadits dan kerana itu mencintai Nabi sebagai Rasul Allah yang penghabisan.Mereka juga mencintai Abu Bakar Sidiq dan sahabat-sahabat Nabi yang berjuang pada menegakkan Islam.

Dalam suatu waktu yang lain,baginda membicarakan kepada sahabat-sahabat tentang kemurniaan iman ikhwan dan sekali lagi mereka menjadi kehairanan.

"Siapakah makhluk Allah yang paling ajaib imannya?"demikian Nabi s.a.w. bertanya kepada sahabat.

"Malaikat,"jawab mereka.

"Bagaimana Malaikat tidak beriman dengan Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah?"jawab baginda.

"Para Nabi,"jawapan mereka lagi.

"Bagaimana para Nabi tidak akan beriman sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?"Nabi s.a.w. membantah jawapan mereka.

"Kami,"jawab sahabat lagi.

"Bagaimana kamu tidak akan beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kamu?"jawab Nabi s.a.w.


Betapa hairannnya para sahabat mendengarkan jawapan-jawapan Nabi s.a.w. itu dan mereka sudah cukup dapat memahaminya.Manakala Nabi sedia maklum betapa mereka amat ingin mengetahui siapakah makhluk ini,yang paling ajaib imannya.

"Makhluk yang paling ajaib imannya ialah mereka yang hidup sesudah aku.Mereka membaca Qur'an dan beriman dengan semua isinya."

Nabi s.a.w. pernah menegaskan lagi tentang kemurniaan iman ikhwan ini dalam sabdanya:

"Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman dengan aku.Dan berbahagialah tujuh kali orang-orang yang beriman dengan aku,tetapi tidak pernah berjumpa dengan aku."

Demikian Nabi s.a.w. mencintai ikhwan itu.

Source:Kisah ringkas kehidupan Rasulullah S.a.w.(Nawawi Dusuki)

No comments: